Penampang: Dua lelaki ditahan oleh polis dalam tempoh kurang enam jam selepas seorang lelaki dilaporkan maut susulan pergaduhan di hadapan sebuah premis perniagaan di Putatan.
Kedua-dua suspek berusia 30 dan 45 tahun itu ditangkap di Kampung Dumpil, Putatan, kira-kira jam 6.30 pagi hari ini oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dengan bantuan Balai Polis Putatan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton, berkata siasatan awal mendapati mangsa, seorang lelaki berusia 24 tahun, dipercayai terlibat dalam pergaduhan di hadapan premis berkenaan pada hari sebelumnya.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan awal pagi tadi. Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula esok hingga 2 Disember depan bagi membantu siasatan,"
Sammy berkata motif pembunuhan dan punca kematian mangsa masih dalam siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Beliau menjelaskan Seksyen 302 memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan minimum 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Sammy meminta sesiapa yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat supaya menghubungi IPD Penampang atau hadir ke balai polis terdekat. Beliau juga menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan supaya siasatan dapat dijalankan dengan lancar.
Source: Harian Metro